Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Adha anjuran MACMA Kelantan telah selamat dijalankan pada 7 November 2011(Isnin – Hari Kedua Aidil Adha) bertempat di tapak Pusat Aktiviti Cina Muslim (PACM).
Lebih kurang 300 orang ahli MACMA dan jemputan yang hadir. Antara jemputan yang hadir adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, YBhg Dato’ Fatmi Che Salleh, setiausaha politik YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Encik Tan Ken Ten, Ketua MCA Bahagian Kota Bharu, Exco Kerajaan Negeri, YB Abdul Fatah Mahmood dan YB Datuk Anuar Tan Abdullah merangkap Penasihat MACMA Kelantan, Dato’ Haji Che Rahim Jusoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, pengerusi dan AJK NGO-NGO Kelantan serta penduduk dan pekerja kedai di sekitar Taman Maju. Arkitek bangunan PACM, Haji Muhammad Ridha Lua dan isteri juga turut hadir dari Kuala Lumpur.
Tujuan majlis ini diadakan di tapak PACM adalah untuk memperkenalkan lokasi tapak kepada ahli-ahli MACMA serta jemputan dan penduduk sekitar Taman Maju. Ini akan memudahkan urusan mendapatkan kelulusan serta mengutip dana untuk membina PACM kelak.
Majlis ini telah dilaporkan oleh akhbar-akhbar Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily, China Press, Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian dan Utusan Malaysia. Pemberita daripada Astro Awani juga turut hadir dan berita telah disiarkan pada malam 7 November itu juga.

